Sunday, July 12, 2009

ISTIQAMAH DAN TIDAK PUTUS ASA

rebut syurga Allah!

  • Didik diri dengan MUTABA’AH.

Saya suka pada mutaba’ah ‘amal. Kadang-kadang, ada juga yang menyebutnya mutaba’ah ibadah. Mutaba’ah ‘amal atau mutaba’ah ‘ibadah, kedua-duanya sama sahaja. Nama lain-lain, tetapi pelaksanaannya tetap sama. Matlamat juga sama.

  • Membina dan membentuk diri dan peribadi.
  • Melatih diri supaya lebih istiqomah mengerjakan ibadah.
  • Mendidik diri supaya komitmen dengan jawatan “hamba Allah” di muka bumi.
  • Menguruskan masa dengan baik, bertepatan dengan “munazzomun fi syuuni-tersusun dalam urusan” dan “haarithun ‘ala waqt-menjaga masa” dalam ”muwassofat tarbiyah-ciri-ciri individu muslim”.
  • Menilai kemampuan dan peningkatan diri dalam mengerjakan ibadah. Meningkat atau menurun?
  • Menilai status iman.

Pelaksanaannya telah bermula sejak zaman tarbiah Rasulullah.

Rasulullah s.a.w. bertanya, “Siapa di antara kalian yang hari ini berpuasa?” Abu Bakar r.a menjawab, “Saya.” Rasulullah s.a.w. bertanya, “Siapa di antara kalian yang hari ini menziarahi orang mati?” Abu Bakar r.a menjawab, “Saya.” Rasulullah s.a.w bertanya, “Siapa di antara kalian yang hari ini memberi makan orang miskin?” Abu Bakar r.a menjawab, “Saya.” Rasulullah s.a.w bertanya, “Siapa di antara kalian yang hari ini menjenguk orang sakit?” Abu Bakar r.a menjawab, “Saya.” Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak berkumpul hal-hal ini di dalam diri seseorang kecuali dia akan masuk syurga.”-hadis

Kebiasaannya, mutaba’ah akan dilakukan dalam usrah atau halaqoh. Murabbi akan sentiasa memeriksa sejauh mana peningkatan amal mutarabbi. Pada saya, tanpa murabbi sebagai checker, diri sendiri juga mampu menghitung amalan dan ibadah sendiri. Yang penting, diri haruslah kuat berazam dan berusaha untuk menjadi lebih baik dari hari ke hari. Dia mestilah istiqomah dan konsisten.

Alat teknologi sekarang ternyata memudahkan urusan dakwah. Komputer boleh diaplikasikan. Pen dan kertas juga boleh. Cukup sekadar menyediakan borang penilaian peribadi lengkap, dan menandakannya jika kita telah berjaya melakukannya. Qiyam sekali seminggu, mengaji Al-Quran setiap hari, Solat Sunat Dhuha, ma’thurat pagi dan petang dan sebagainya. Kredit buat diri kalau kesemuanya berjaya dilakukan. Kalau diri kerapkali sibuk menghitung carry mark, atau markah-markah peperiksaan, apalah salahnya kalau disibukkan sekali dengan rekod pencapaian ibadah? Pada saya, keazaman itu yang penting. Biarpun belum tentu kita mampu berjaya melakukannya secara menyeluruh, asalkan punya niat dan keazaman, itu yang Allah pandang. Malaikat mencatat setiap niat yang baik. Pahala kita bertambah.

Pada mulanya, amalan manapun semuanya sukar. Istiqomah atau konsisten ternyata bukan mudah. Namun, saya percaya pada “alah bisa tegal biasa”. Pakar psikologi sendiri membuktikan bahawa amalan yang dilakukan selama 42 hari secara konsisten dan berturut-turut, akan membentuk tabiat.

Ibadah yang konsisten dengan amalan-amalan sunat akan menyucikan hati. Hati yang bersih menjadikan individu mampu membezakan amalan baik dan buruk. Hati yang bersih akan menundukkan hawa nafsu. Hati yang bersih akan mampu mengajar akal dan mendidik syahwat ke arah jalan yang benar. Hati yang bersih akan menghalakan kita ke arah kebaikan. Hati yang bersih akan dipandang Allah, sekaligus sentiasa disuluh untuk menerima hidayah Allah. Kita akan sentiasa dalam jagaan Allah. Melihat, mendengar, berjalan dan sebagainya dengan menggunakan pandangan Allah. Iman meningkat. Allah sayang. Seronok bukan?

tarbiyah dari ALLAH itu indah!

  • Didik diri dengan ‘iqob

‘Iqob (hukum) diri kerana tidak mahu manjakan diri. Belajar untuk meng’iqob diri sendiri setelah amalan dan prestasi ibadah menurun. Bukan menghukum diri dengan denda berat, menyeksa diri, dan sebagainya. Sekadar topup amalan yang berkurang. Kadang-kadang, kesibukan menyebabkan kita tidak mampu mengerjakan mutaba’ah amal dengan konsisten. Kadang-kadang, pengurusan masa yang tidak menentu menyebabkan kita sedikit terlalai dan terleka, akhirnya terbuat dosa. Pada saya, ‘iqob memang perlu.

Antara contoh ‘iqob diri:

  • 1. Bersedekah
  • 2. Puasa sunat
  • 3. Istighfar dan zikir
  • 4. Memberi hadiah.
  • 5. Ajak lebih ramai sahabat ke ta’lim
  • 6. Banyakkan membaca Al-Quran
  • 7. Amalan-amalan lain ditambah.

Niatkan semuanya kerana Allah. Hasilnya, ibadah. Moga-moga diterima Allah.

No comments:

Post a Comment